


Bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-5 ini sememangnya mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyayian. Walaupun muncul tanpa pakej yang lengkap, Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali sebagai Aizat, masih mampu memukau pendengar dengan kekuatan vokal yang dimiliki. Paling meninggalkan kesan, apabila Aizat mendendangkan lagu “Perpisahan” yang dipopularkan oleh Anuar Zain..Gemersik suaranya pada malam itu membuatkan tiga pengkritik tetap, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Hattan dan Fauziah Latiff, dan pengkritik jemputan, Kudsia Kahar terpegun seketika. Malah, mereka sependapat persembahan Aizat pada malam itu sempurna sehingga Hattan mengakui bulu romanya meremang. Namun, perjuangan Aizat di dalam AF5 tidak kesampaian apabila dia disingkirkan pada minggu ketujuh.
Kini, setelah hampir dua tahun meninggalkan akademi, Aizat masih meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian. Singlenya yang bertajuk “Hanya Engkau Yang Mampu” dan “Sahabat” sering dimainkan di corong-corong radio, sekaligus berjaya melonjakkan nama Aizat di persada dunia hiburan tempatan.
Melihat kejayaan ini membuatkan Aizat memanjangkan langkahnya dengan menghasilkan album penuh yang berjudul ‘Percubaan Pertama’ yang menampilkan lapan buah lagu kesemuanya. Album ini dihasilkan di bawah syarikat milik Aizat sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia.
Menurut Aizat yang ditemui semasa majlis pelancaran album terbarunya, album itu diilhamkan olehnya bersama adik-beradiknya yang juga mempunyai citarasa muzik dan jenis lagu yang sama sepertinya. Aizat juga mengakui albumnya itu lahir kerana dia mendapat sokongan padu daripada keluarga yang sentiasa memberi galakkan dan percaya dengan bakat yang dimilikinya.
“Bagaimanapun, tipulah kalau saya katakan yang saya 100 peratus puas hati dengan pembikinan album ini. Sebab itulah saya namakan album ini ‘Percubaan Pertama’. Saya sedar masih banyak yang perlu saya pertingkatkan untuk menghasilkan album yang terbaik,” terang Aizat yang kini tampil dengan imej baru.
Sementara itu, menjawab isu yang mengatakan lagu-lagunya banyak dipengaruhi oleh muzik Indonesia, Aizat menjelaskan yang dia sama sekali tidak menyangka isu itu akan timbul. Bagi Aizat, muzik itu global. Oleh itu, dia pasti akan menyanyikan apa sahaja lagu jika muziknya memenuhi citarasa.


No comments:
Post a Comment